Akhirnya ayah update status Wan dalam Geni.com kepada 'Deceased'.
Ayah tak akan lupa hari itu 27 Februari 2011.
Malam sebelumnya, sebelum ayah tidur, ayah tulis blog meminta sesiapa yang membaca, mendoakan Wan sembuh. Ayah tak sabar menunggu hari esoknya sebab nak bersama Wan lagi, tak puas dengan masa bersama Wan semasa siangnya.
Ayah tak nyenyak tidur malam tu. Mungkin lebih 4 kali ayah terjaga. Dan setiap kali ayah terjaga, ayah akan melihat henpon ayah, takut2 terlepas panggilan penting. Tak tau kenapa. Esoknya ayah bangun semasa azan subuh berkumandang. Tidak ayah tahu, masa itulah Wan menghembuskan nafas terakhir. Masa dalam bilik air bila henpon berbunyi dan di skrin 'Acek Hp', hati ayah berkata - Ya Allah, inilah masanya. Walaupun ayah rasa macam mimpi, ayah mendengar arahan Mak Chek untuk ke hospital atas saranan Pak Lang. Ayah bergegas siap, bagitau mama "Mak tengah nazak". Kurang 10min kemudian semasa mandi Pak Lang pulak call ayah "Kau dah tau kan Di?". Ayah mengiyakan. Ayah ingatkan Pak Lang bercakap pasal Wan tengah nazak. Ayah masih berfikir yang arwah Wan masih ada, tengah nazak. Ayah memandu dengan berdebar-debar, berharap dapat berjumpa Wan buat kali terakhir.
Setibanya di wad, ayah melihat arwah Wan tengah dilap2 oleh nurse. Masa tu ayah masih ingat yang Wan masih ada. Maktam menangis. Pak Lang tengah bercakap ditelefon. Bila dengar Pak Lang kata kat telepon tu "Mak Unggal dah tak ada". Ayah tergamam tapi tenang. Rupanya, tubuh Wan yang ayah tengok tu adalah jasad tanpa roh Wan. Ayah betul2 rasa bingung masa tu tapi tenang dan redha yang Wan dah tak ada dan ayah tak sempat berjumpa Wan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Alhamdulillah kita sekeluarga sempat berjumpa arwah Wan sehari sebelumnya. Kita patut berterima kasih pada mama yang insist untuk Awish, Mina dan Sarah berjumpa Wan masa hari tu.
Dalam minggu yang telah sudah ayah amat terkenangkan arwah Wan. Terutama di waktu malam, sunyi rumah tanpa hilai tawa Sarah yang berada di hospital; Awish dan Mina pulak kepenatan sebab terpaksa mengekor ayah kesana sini, membuatkan ayah teringat arwah.
Biasanya, sebelum sebelum ni, bila ayah kesedihan, stress dan sebagainya, ayah akan bayangkan Wan di kampung dan kegigihan Wan menempuh hidup, berkorban demi keluarga. Bayangan itu cukup untuk memberi kekuatan kepada semangat. Tapi, kini bila ayah cuba bayangkan Wan dikampung, ianya cuma bayangan kosong..
Ayah nak anak anak ayah tahu, Wan adalah seorang yang hidupnya penuh dengan pengorbanan, berkorban untuk orang orang yang disayanginya dan menyayanginya disekilingnya dari lahir lagi. Wan berkorban bertukar nama dari Timah ke Zainon; arwah Wan berhenti sekolah darjah 3, demi mematuhi arwah atuknya. Sepanjang yang ayah ingat, arwah Wan tak akan menelipon atau memberitahu sesiapa kalau dia sakit sebab tak nak ayah dan pakcik/makcik semua risau. Setiap kali hari raya, Wan membuat persiapan, nak kan hari raya yang meriah untuk anak cucunya, sampai kakinya bengkak. Itulah Wan.Walaupun belajar setakat rendah tapi semangat dan determination sangat tinggi.
Dengan kuasa Allah, cara arwah Wan meninggal dunia juga, penuh unsur2 pengorbanan untuk anak dan cucunya. Dia meninggal dengan cara yang sangat mudah, nazaknya singkat, meninggal waktu pagi hari Ahad, ie pagi hari cuti. Secara tak langsung memudahkan atau tidak membuat orang kelam kabut (tak kerja, tak sekolah) untuk menguruskan jenazahnya. Itulah Arwah Wan.
Ayah nak anak-anak ayah tahu, kenangan terakhir ayah dengan arwah Wan adalah sehari sebelum pemergian Wan, ayah menyuapkan Wan coklat untuk Wan mendapat gula dan tenaga. Itulah peluang yang Allah SWT ciptakan untuk ayah berbakti pada arwah Wan buat kali terakhir.
Allah jualah yang merancang bahawa ayahlah anak yang memimpin atuk ke jenazah Wan ketika atuk sampai kehospital. Tangisan dan raungan atuk masa tu tak akan dapat ayah lupakan. Ayah sangat khuatir masa tu atuk akan rebah dek kerana kesedihan dan kemurungan yang amat. Ayah pegang atuk sekuat-kuatnya. Jelas terbukti pada masa tu kasih sayang atuk dan Wan hingga ke akhir hayat.
Alfatihah untuk Wan.
No comments:
Post a Comment